ORANG ramai menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di sebuah hospital di London. FOTO AFP
ORANG ramai menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di sebuah hospital di London. FOTO AFP
AFP

London: United Kingdom (UK) mengesahkan satu kematian akibat jangkitan varian baharu Covid-19, Omicron.

Dalam satu lawatan di pusat vaksinasi di barat London, Perdana Menteri, Boris Johnson berkata, sebanyak 40 peratus kes varian Omicron menular di ibu negara dan kemasukan hospital semakin meningkat.

"Dukacitanya, sekurang-kurangnya seorang pesakit disahkan maut akibat Omicron," katanya kepada pemberita.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Eropah (ECDC) memberitahu AFP, kes berkenaan adalah kematian pertama disahkan akibat Omicron.

Katanya, banyak kes di seluruh dunia tidak berjujukan genom, jadi sukar mengetahui sama ada kes dilaporkan di negara itu adalah kematian Omicron pertama.

Di Afrika Selatan, di mana mutasi virus itu pertama kali dikenal pasti, tiada kematian rasmi diumumkan berkaitan dengan Omicron, menurut jabatan kesihatan negara itu.

UK, satu daripada negara terjejas teruk dilanda Covid-19 dengan merekodkan 146,000 kematian sejak tahun lalu.

Ahad lalu. Jonhson dalam perutusan luar biasa di saluran televisyen negara itu berkata, langkah kecemasan diperlukan untuk mengelak hospital terus penuh pada minggu-minggu berikutnya.

Semua orang dewasa boleh mengambil vaksin ketiga menjelang penghujung Disember, sebulan lebih awal daripada tarikh sasaran kerajaan sebelum ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 9:19 AM