SAMSUDDIN (kiri) dihukum membaca al-Quran kerana tidak memakai topi keledar. FOTO Agensi
SAMSUDDIN (kiri) dihukum membaca al-Quran kerana tidak memakai topi keledar. FOTO Agensi
Agensi

Makassar: Seorang imam dihukum membaca ayat suci al-Quran selepas ditahan polis trafik kerana tidak memakai topi keledar di Jalan Urip Sumoharjo, Sulawesi Selatan, semalam.

Detik News melaporkan, imam Masjid Nurul Hikmah Markaz Imam Malik yang dikenali sebagai Samsuddin ditahan polis trafik ketika dalam perjalanan pulang dari pasar, jam 7.30 pagi.

Ketika ditahan, Samsuddin yang dalam perjalanan ke rumahnya di Jalan Faisal mengakui kesalahannya ketika menunggang motosikal dengan memberi alasan topi keledarnya tertinggal di pasar.

Samsuddin mengakui sememangnya dia memakai topi keledar untuk ke pasar namun, hanya sedar ia tertinggal di pasar selepas ditahan polis.

Polis Trafik Makassar, Bripka Sumair berkata, imam berkenaan kemudian dibawa ke balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut sebelum diminta membaca al-Quran.

“Saya merakam video imam berkenaan membaca al-Quran bagi memberi pengajaran kepada masyarakat agar memakai topi keledar ketika menunggang motosikal atau berdepan tindakan sama.

“Suaranya begitu merdu ketika alunan al-Quran dibacakan sehingga saya meminta dia untuk meneruskan bacaannya.

“Selepas selesai bacaan al-Quran, saya juga meminta imam berkenaan membacakan doa untuk petugas lain,” katanya.

Dalam video yang tular, Samsuddin diminta membacakan satu juzuk al-Quran sebelum diminta untuk meneruskan bacaan ayat dari surah al-Isra’, ayat 9 hingga 15.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 8:30 AM