LELAKI berkenaan memasuki masjid. FOTO Agensi
LELAKI berkenaan memasuki masjid. FOTO Agensi
Agensi

Jakarta: Tular seorang imam di Masjid Al-Muhajir, Buahbatu, Bandung, dilaporkan diludah warga asing, pada pagi semalam.

Ia selepas lelaki itu dikatakan terganggu dengan bacaan al-Quran yang diperdengarkan menerusi pembesar suara masjid berkenaan.

Rakaman kejadian kira-kira 6 pagi itu kini tular di media sosial.

Memetik laporan portal Detik.com, berdasarkan rakaman kamera llitar tertutup (CCTV), seorang lelaki yang memakai topi, baju lengan panjang berwarna hitam dan seluar panjang berwarna hijau dilihat memasuki masjid berkenaan.

Lelaki itu kemudian menghampiri mimbar sebelum mematikan telefon bimbit milik imam masjid.

Ketika itu, imam memainkan ayat suci al-Quran daripada telefon bimbit.

Warga asing itu kemudian dikatakan memarahi imam berkenaan dalam Bahasa Inggeris dan meludah pada muka imam itu.

Dalam pada itu, imam berkenaan, Muhammad Basri Anwar, 24, mengesahkan perkara itu ketika ditemui wartawan Detik.com.

Berkongsi kisah itu, Muhammad Basri berkata, warga asing itu berbuat demikian kerana berasa terganggu dengan bacaan al-Quran.

"Dia masuk (ke masjid) terus ke datang ke mimbar dan mematikan (alunan bacaan al-Quran) di telefon bimbit saya... memarahi saya dengan Bahasa Inggeris... saya tidak faham," katanya.

Dalam pada itu, Kompas melaporkan warga asing itu adalah warga Australia yang menginap di hotel di depan masjid berkenaan.

Difahamkan, dia mendaftar masuk di hotel itu pada malam sebelumnya dan selepas kejadian, lelaki itu mendaftar keluar dari penginapan berkenaan, kira-kira jam 9 pagi.

Kejadian itu juga tidak disedari oleh pengurusan hotel terbabit.

Susulan kejadian, media sosial lelaki itu juga 'diserang' oleh netizen yang tidak berpuas hati dengan insiden berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 10:09 AM