IMAM tetap meneruskan solat Tarawih walaupun kucing memanjatnya. FOTO Facebook
IMAM tetap meneruskan solat Tarawih walaupun kucing memanjatnya. FOTO Facebook
Agensi

Algiers: Baru-baru ini tular rakaman video seorang imam yang sedang memimpin solat Tarawih di sebuah masjid di Algeria, dipanjat seekor kucing seakan ingin solat bersama.

Times Now News melaporkan, rakaman yang mendapat tontonan ramai itu menjadi contoh semangat bulan Ramadan yang sihat.

Video yang dikongsi Sheikh Walid Mehsas di Facebook rasminya menunjukkan kucing itu melompat ke arah imam yang sedang solat.

"Maha Suci Tuhan. Haiwan pun takut akan firman Tuhan. Saksikan seekor kucing memanjat Imam yang sedang membaca al-Quran dalam solat Tarawih," kata warganet.

Menerusi rakaman itu, imam itu tetap berjaya membacakan ayat suci al-Quran dengan baik walaupun terdapat kemungkinan gangguan.

Dia dilihat membelai kucing itu yang kemudian naik ke bahunya dan cuba mencium mukanya.

Imam meneruskan bacaannya dan kekal tenang walaupun kucing itu berkeliaran di sekitar masjid.

Video berkenaan menawan hati ramai individu di seluruh dunia sehingga dikongsi ribuan pengguna media sosial.

"Sangat lucu dan hebat. Suka lihat bagaimana dia mengekalkan tumpuannya dan mengalu-alukan kucing itu," kata warganet.

Seorang lagi berkongsi, kucing itu seolah-olah ingin mengucapkan terima kasih kepadanya kerana membaca al-Quran dengan suara yang menyenangkan telinga dan semoga Tuhan memberkati Sheikh.

Insiden yang menggembirakan ini menjadi bukti sebenar intipati bulan mulia Ramadan yang menjunjung nilai disiplin diri, kebajikan dan rohani.

Walaupun diganggu kucing, imam tetap teguh dalam solatnya melambangkan kepentingan mengekalkan sikap tenang dalam menghadapi keadaan tidak dijangka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 1:13 PM