LELAKI Australia yang dipercayai terbabit kejadian meludah muka seorang imam di sebuah masjid di Bandung. FOTO Facebook
LELAKI Australia yang dipercayai terbabit kejadian meludah muka seorang imam di sebuah masjid di Bandung. FOTO Facebook
Agensi

Jakarta: Polis menahan seorang lelaki Australia di sini, semalam, kerana dipercayai terbabit kejadian meludah muka seorang imam di sebuah masjid di Bandung, pada Jumaat lalu.

Menurut Ketua Polis Bandung Budi Sartono, lelaki yang berusia 43 itu ditahan bagi membantu siasatan termasuk kerana melakukan penghinaan.

Beliau berkata, terdahulu, suspek ditahan di lapangan terbang di sini, pada malam Jumaat, susulan laporan polis yang dibuat oleh imam berkenaan.

Katanya, lelaki warga asing itu kemudian dibawa ke Bandung untuk soal siasat selama 10 jam.

"Kita juga sudah meneliti rakaman rakaman kamera llitar tertutup (CCTV) dan menemu bual lima saksi dalam kes ini," katanya seperti dilaporkan portal Kompas.

Terdahulu, tular rakaman CCTV menunjukkan seorang imam di Masjid Al-Muhajir, Bandung, diludah warga asing.

Pada kejadian kira-kira 6 pagi Jumaat lalu, lelaki itu dikatakan terganggu dengan bacaan al-Quran yang diperdengarkan menerusi pembesar suara masjid berkenaan.

Memetik laporan portal Detik.com, berdasarkan rakaman kamera llitar tertutup (CCTV), seorang lelaki yang memakai topi, baju lengan panjang berwarna hitam dan seluar panjang berwarna hijau dilihat memasuki masjid berkenaan.

Lelaki itu kemudian menghampiri mimbar sebelum mematikan telefon bimbit milik imam masjid.

Ketika itu, imam memainkan ayat suci al-Quran daripada telefon bimbit.

Warga asing itu kemudian dikatakan memarahi imam berkenaan dengan kata-kata kesat dalam dalam Bahasa Inggeris dan meludah pada muka imam itu.

Berkongsi kisah itu, imam berkenaan, Muhammad Basri Anwar, 24, warga asing itu berbuat demikian kerana berasa terganggu dengan bacaan al-Quran.

"Dia masuk (ke masjid) terus ke datang ke mimbar dan mematikan (alunan bacaan al-Quran) di telefon bimbit saya... memarahi saya dengan Bahasa Inggeris... saya tidak faham," katanya.

Dalam pada itu, Kompas melaporkan warga asing itu adalah warga Australia yang menginap di hotel di depan masjid berkenaan.

Difahamkan, dia mendaftar masuk di hotel itu pada malam sebelumnya dan selepas kejadian, lelaki itu mendaftar keluar dari penginapan berkenaan, kira-kira jam 9 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2023 @ 8:54 AM