TINDAKAN Ozil mengutuk kekejaman terhadap etnik Uighurs di Xinjiang tidak disenangi kerajaan China. FOTO Reuters
TINDAKAN Ozil mengutuk kekejaman terhadap etnik Uighurs di Xinjiang tidak disenangi kerajaan China. FOTO Reuters
AFP

BEIJING: Gara-gara menyatakan sokongan terhadap etnik Uighurs di Xinjiang, stesen penyiaran kerajaan China, CCTV menarik balik siaran langsung perlawanan antara Arsenal dan Manchester City daripada programnya yang dibintangi pemain tengah Arsenal, Mesut Ozil.

Ozil warga Jerman berketurunan Turki, mengutuk tindakan kejam China terhadap minoriti Muslim dalam Twitter, Jumaat lalu, malah turut mengkritik negara-negara Islam kerana gagal menyuarakan bantahan kerana kekejaman itu.

Perlawanan Liga Perdana di London semalam antara Arsenal dan Manchester City, pada mulanya dijadualkan disiarkan secara langsung oleh saluran sukan CCTV pada tengah malam.

Bagaimanapun, CCTV menggantikan perlawanan itu dengan perlawanan yang dirakam antara Tottenham dan Wolverhampton Wanderers.

“Al-Quran dibakar, masjid ditutup, sekolah Muslim diharamkan. Ulama dibunuh satu per satu dan saudara Islam dihantar ke kem.

“Umat Islam tidak bersuara. Suara mereka tidak kedengaran,” kata Ozil di Twitter mengutuk kekejaman China, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 12:07 PM