WENGER (kanan) pertahan kecaman Ozil. FOTO/AGENSI
WENGER (kanan) pertahan kecaman Ozil. FOTO/AGENSI
AFP

DOHA: Bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger mempertahankan komen Mesut Ozil yang mengutuk tindakan kejam ke atas etnik Muslim Uighur menimbulkan kemarahan penduduk dan kerajaan China.

“Mesut Ozil mempunyai kebebasan bersuara seperti orang lain dan dia menggunakan reputasinya untuk menyatakan pendapat yang tidak selalu dikongsi oleh semua orang, tetapi dia berhak melakukan sedemikian.

“Anda seorang manusia, mempunyai pendapat dan apabila anda bermain bola sepak, anda komited bermain. Anda melakukan tugas terlebih dahulu dan ia perlu dihormati,” kata Wenger kepada wartawan di Doha, hari ini.

Ozil dari Jerman berketurunan Turki, mengutuk tindakan kejam China terhadap minoriti Muslim di wilayah barat Xinjiang menerusi Twitter minggu lepas.

“Apa yang penting adalah Ozil melakukan tanggungjawab secara individu. Dia tidak membawa nama Kelab Bola Sepak Arsenal, jadi apa yang dikatakannya adalah mengenai dirinya sendiri dan bukan Arsenal,” tambah Wenger.

Wenger yang kini berusia 70 tahun, berada di Qatar selepas dilantik sebagai Ketua Pembangunan Bola Sepak Dunia, FIFA.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 9:57 PM