RIBUAN penunjuk perasaan turun memberi sokongan kepada Ozil. FOTO REUTERS
RIBUAN penunjuk perasaan turun memberi sokongan kepada Ozil. FOTO REUTERS
Reuters

RIBUAN penunjuk perasaan berhimpun menyokong etnik Uighur di Istanbul hari ini dan menyuarakan sokongan terhadap pemain tengah Arsenal Mesut Ozil susulan kekecohan yang berpunca daripada kritikannya berkenaan polisi China terhadap golongan minoriti Muslim itu.

Minggu lalu, bintang bola sepak Ozil, pemain Muslim Jerman berketurunan Turki, memuat naik mesej di media sosial menggelarkan etnik Uighur sebagai ‘wira’ dan mengkritik tindakan China selain sikap berdiam diri umat Islam terhadap perkara itu.

Sejumlah penyokong di Istanbul menunjukkan kain rentang bertulis ‘Hentikan kekejaman’ dan bersorak ‘Keluar dari Turkestan Timur’ dan ‘Turkestan Timur tidak bersendirian’, menggantikan nama Xinjiang bagi wilayah berkenaan.


Pertubuhan Bangsa Bersatu dan kumpulan hak asasi manusia menjangkakan antara satu hingga dua juta orang, terutamanya etnik Muslim Uighur, ditahan dalam keadaan teraniaya di Xinjiang sebagai apa yang dikatakan Beijing sebagai kempen anti keganasan.

China berulang kali menafikan melakukan penganiayaan terhadap etnik Uighur dan kementerian luarnya berkata Ozil diperdayakan ‘berita palsu’.

“Sikap bermaruah Mesut Ozil memberi inspirasi kepada kami. Semua orang patut menyuarakan bantahan ke atas golongan zalim seperti yang diperkatakan Ozil,” kata Adem Adil, salah seorang penunjuk perasaan.

Ozil turut menerima sokongan daripada bekas pengendali Arsenal Arsene Wenger yang mempertahankan hak pemain itu untuk menyuarakan pandangannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Disember 2019 @ 12:25 PM