KEADAAN pemandangan Sydney yang diselimuti jerebu teruk.
KEADAAN pemandangan Sydney yang diselimuti jerebu teruk.
AFP

SYDNEY: Kualiti udara di Sydney sudah memasuki tahap berbahaya dengan mencatat bacaan mencecah Indeks Kualiti Udara 186 di barat laut bandaraya itu disebabkan kebakaran hutan teruk.

 

Bacaan itu bersamaan dengan kualiti udara di Delhi, India dan penduduk diminta mengelak dari melakukan aktiviti luar.

 

Di selatan Australia, pihak berkuasa mengeluarkan arahan larangan pembakaran terbuka kerana kebakaran dahsyat dijangka tercetus esok ekoran suhu cuaca diramalkan mencecah kira-kira 40 darjah Celsius.

 

Cuaca dingin beberapa hari lalu membolehkan anggota bomba memadamkan api di kawasan terjejas, namun situasi dijangka bertambah teruk apabila suhu tinggi, angin kencang dan kelembapan rendah akan memarakkan api esok.

 

Sejak kebakaran tercetus di New South Wales dan Queensland pada September lalu, enam orang sudah terbunuh dan ratusan rumah musnah.

 

Buat masa sekarang, lebih 110 kebakaran dikesan di timur Australia dengan puluhan lagi belum dipadamkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 10:00 AM