JBPM menggunakan helikopter untuk memadamkan kebakaran. FOTO ihsan JBPM
JBPM menggunakan helikopter untuk memadamkan kebakaran. FOTO ihsan JBPM
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Hanya lima peratus lagi kebakaran di kompartmen 17 di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan masih belum berjaya dipadamkan.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, kawasan kebakaran kira-kira seluas 40.469 hektar membabitkan lapan kompartmen itu sudah 95 peratus berjaya dipadamkan.

"Ini bermakna kompartmen 7, 12, 13, 14, 15, 16 dan 20 sudah padam sepenuhnya..lagi lima peratus di kompartmen 17. Jadi, bomba menjangkakan operasi pemadaman ini boleh ditamatkan pada Selasa, 9 Mac ini, insya-Allah.

"Selain pemadaman secara terus melalui darat dan bantuan pengeboman air dari udara, hujan malam tadi dan pagi ini juga membantu mempercepatkan pemadaman kebakaran di kawasan itu," katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun katanya, pasukannya berdepan dengan cabaran untuk memadamkan kebakaran dari udara hari ini.

"Keadaan cuaca tidak menentu serta angin kencang agak menyukarkan sedikit untuk memgambil air di heli well," katanya.

Beliau berkata, bermula 4 Mac lalu sehingga hari ini, helikopter jenis Agusta Westland 189 milik Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya melakukan pengeboman air sebanyak 40,800 liter membabitkan 24 sortie.

Dalam perkembangan sama, Norazam berkata, kebakaran mula dikesan pada Sabtu itu mudah merebak berikutan cuaca panas, kering dan berangin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 3:48 PM