ANTARA lukisan ditampilkan pada Lelongan Seni dan Arkitek Edisi Istimewa anjuran Henry Butcher Art Auctioneers (HBAA) di Galeri Prima, Bangsar, hari ini. FOTO Nadim Bokhari.
ANTARA lukisan ditampilkan pada Lelongan Seni dan Arkitek Edisi Istimewa anjuran Henry Butcher Art Auctioneers (HBAA) di Galeri Prima, Bangsar, hari ini. FOTO Nadim Bokhari.
Suraya Roslan


LUKISAN bertajuk Hijrah karya Allahyarham Datuk Syed Ahmad Jamal menerima bidaan tertinggi pada Lelongan Seni dan Arkitek Edisi Istimewa anjuran Henry Butcher Art Auctioneers (HBAA) di Galeri Prima, Bangsar, hari ini.

Hijrah berkonsepkan penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah menampilkan perjalanan menuju cahaya dengan konsep perubahan warna putih, kuning, hijau, biru dan merah menerima bidaan RM313,600 pada lelongan berlangsung selama empat jam itu.

LUKISAN karya Datuk Ibrahim Hussein bertajuk Xenobiosis menerima bidaan kedua tertinggi, RM291,200 diikuti lukisan bertajuk Dark Bakau karya Abdul Latiff Mohidin dengan bidaan RM268,800.

Sesi pelelongan selama empat jam bermula 1 tengah hari menampilkan 200 hasil seni pelukis tersohor negara antaranya Datuk Ibrahim Hussein, Abdul Latiff Mohidin, Yusof Ghani, Syed Ahmad Jamal dan Redza Piyadasa.

Selain hasil karya pelukis terunggul tempatan, lukisan pelukis ternama dari negara jiran seperti Singapura, Vietnam dan Filipina turut dilelong.

Pengarah HBAA, Polenn Sim, berkata lebih 70 peratus daripada lukisan dilelong berjaya dijual menerusi lelongan edisi istimewa sempena ulang tahun ke-10 syarikat diasaskan pada 2009 itu.

“Sebanyak 140 lukisan berjaya dijual dengan nilai RM3.2 juta dalam tempoh empat jam dan kami berpuas hati dengan pencapaian ini apabila melebihi sasaran diperlukan berbanding Mac lalu hanya RM2.8 juta.

“Kami sentiasa mengalu-alukan pembeli dan pengumpul koleksi untuk mendapatkan lukisan diminati walaupun selepas bidaan selesai,” katanya.

Menurutnya, setiap karya seni mempunyai keunikannya tersendiri, justeru ia dibida berdasarkan nilai seni berkenaan.

Sebelum ini, Henry Butcher yang mengadakan lelongan lukisan di Galeri Prima pada Mac lalu berjaya meraih keuntungan dengan jumlah RM2.8 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 7:43 PM