DUIT bertaburan di jalan raya. FOTO/AGENSI
DUIT bertaburan di jalan raya. FOTO/AGENSI
Agensi

BEIJING: Seorang lelaki menyesal dan ingin meminta semula wang berjumlah lebih 100,000 yuan (RM58,857) yang dilempar di atas jalan raya di tenggara China dengan alasan tertekan dengan masalah di tempat kerja, Isnin lalu.

South China Morning Post melaporkan, lelaki berusia 42 tahun itu, Huang mengakui dia terlalu mengikut emosi selepas mengeluarkan wang terbabit dari sebuah bank di bandar Shishi, wilayah Fujian.

Polis berkata, tindakan lelaki terbabit mencetuskan kekecohan dan kesesakan teruk apabila orang ramai berebut untuk mengambil wang berkenaan.

Satu rakaman video yang dikongsi di Weibo menunjukkan penunggang motosikal turut tidak melepaskan peluang dan berhenti untuk mengutip wang kertas 100 yuan di atas jalan.

Bagaimanapun, polis berkata, sebahagian daripada wang terbabit sudah dipulangkan petang Selasa iaitu sehari selepas kejadian.

“Dia adalah daripada keluarga biasa dan bukan orang kaya. Tindakan itu mencetuskan masalah besar kepada diri dan keluarganya. Tolong bersikap rasional dan pulangkan wang itu,” kata polis menerusi kenyataan di Weibo.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 1:47 PM