PEMANDANGAN  berjerebu yang disebabkan kebakaran hutan boleh dilihat sekitar jambatan Ampera dan Sungai Musi di Palembang. FOTO AFP
PEMANDANGAN berjerebu yang disebabkan kebakaran hutan boleh dilihat sekitar jambatan Ampera dan Sungai Musi di Palembang. FOTO AFP
Agensi

JAKARTA: Pekan Baru di Riau, Palembang di Sumatera, Aceh dan Jakarta dilanda jerebu tebal sejak kelmarin, berikutan kebakaran hutan yang masih gagal diatasi kerajaan Indonesia yang turut menyebabkan jerebu teruk di Malaysia.

Semalam, agensi kaji cuaca Indonesia memberi amaran jerebu yang melanda Aceh, terutama Aceh Utara akibat kebakaran hutan di Riau boleh mengganggu penerbangan berikutan jarak pandangan yang terhad.

Kompas melaporkan, ketua agensi itu di Lapangan Terbang Malikussaleh, Aceh, Winda Retha Taranita berkata, jarak penglihatan mendatar dan ke atas yang terhad boleh mengganggu penerbangan.

“Kami sudah menyampaikan hal itu kepada pengendali lapangan terbang dan syarikat penerbangan. Terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan,” katanya.

Penerbangan di Aceh bagaimanapun masih berjalan seperti biasa semalam, tanpa pembatalan atau penangguhan pesawat.

Sementara itu, CNN Indonesia melaporkan, penduduk di Pekan Baru memakai topeng muka ketika berada di luar rumah akibat jerebu yang masih buruk.

Liputan 6 melaporkan, pemerintah Palangkaraya di Kalimantan Tengah mengesahkan jerebu kembali melanda wilayah itu berikutan beberapa kebakaran baru tanah gambut.

Menurut pihak berkuasa wilayah itu, kebakaran kembali marak selepas tiga minggu tidak hujan menyebabkan tanah gambut menjadi kering.

AFP melaporkan, agensi pengurusan bencana Indonesia mengesan 6,312 titik panas Jumaat lalu, bertambah berbanding 2,694 pada Khamis dan 1,000 awal bulan ini.

Indonesia mengerah lebih 9,000 anggota tentera, polis dan agensi lain untuk memadamkan kebakaran itu yang menyaksikan enam wilayah di Sumatera dan Kalimantan mengisytiharkan darurat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 7:10 AM