POLIS berkawal di depan rumah sewa  Jumharyono. - Agensi
POLIS berkawal di depan rumah sewa Jumharyono. - Agensi
Agensi

PERTENGKARAN mengenai masalah kewangan membawa tragedi apabila seorang lelaki membelasah isterinya sampai mati dipercayai menggunakan batu, pisau, cota dan gunting sebelum membakar rumah mereka di Kramat Jati, dekat sini, semalam.

Lebih menyedihkan anak pasangan itu yang berusia lima tahun kini kritikal selepas 80 peratus tubuhnya melecur akibat kebakaran itu.

Menurut laporan media Indonesia, lelaki itu dikenali sebagai Jumharyono bertengkar dengan isterinya yang turut didengari jiran kira-kira jam 1.30 pagi, ada yang menjerit menyatakan rumah terbakar.

Kompas melaporkan, jiran pasangan itu dikenali sebagai Rohayah berkata, apabila terdengar jeritan kebakaran itu dia dan beberapa jiran segera keluar dan mendapati rumah disewa Jumharyono sedang terbakar menyebabkan mereka menerjah masuk.

Menurutnya, dia menemui isteri Jumharyono dikenali sebagai Khoriah, terbaring berlumuran darah manakala lelaki itu terjun melalui tingkap dan pengsan.

“Lelaki itu mungkin cuba melarikan diri apabila kami masuk atau cuba menyelamatkan dirinya daripada kebakaran,” katanya.

Mereka kemudian menemui anak pasangan itu yang sedang terbakar dan sebaik api pada pakaiannya dipadamkan, kanak-kanak itu berlari keluar sambil menangis kesakitan.

Menurut polis, kanak-kanak itu kini kritikal kerana melecur 80 peratus di muka dan belakang badan.

Siasatan mendapati suspek dan mangsa bertengkar disebabkan masalah kewangan dan Jumharyono cuba menghapuskan bukti jenayahnya dengan membakar rumah. Anak mereka tidur di ruang tamu ketika kejadian.

“Mayat mangsa yang berada berhampiran pintu tidak terbakar, sebaliknya api menyambar anak mereka,” kata jurucakap polis.

Penduduk berjaya memadam kebakaran itu dan suspek diserahkan kepada polis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 9:54 AM