Banting: Seorang lelaki terkejut mendapati jiran wanitanya membakar diri di hadapan kediamannya di di Taman Sri Jarom, Sungai Jarom, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam, wanita berusia 41 tahun ditemui maut selepas terbakar dan melecur hampir seluruh badan.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa tinggal seorang diri di rumah sementara suaminya keluar.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Zailan Tasir berkata, jiran mangsa yang melihat kejadian itu menyangka motosikal terbakar selain meminta bantuan beberapa jiran yang tinggal berdekatan untuk memadamkan kebakaran.

“Namun, ketika cuba memadamkan kebakaran, mereka terkejut melihat ‘motosikal’ berkenaan adalah jiran mereka.

“Mangsa sudah tidak bernyawa selepas api dipadamkan sebelum suaminya pulang beberapa minit kemudian,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Zailan berkata, mangsa yang melecur pada keseluruhan badannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut dan mayat di hantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2015 @ 8:05 AM