Anggota forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis melakukan siasatan di lokasi sebuah rumah yang terbakar di Kampung Stesen, Arau mengakibatkan seorang lelaki dewasa melecur. FOTO Hafizudin Mohd Safar
Anggota forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis melakukan siasatan di lokasi sebuah rumah yang terbakar di Kampung Stesen, Arau mengakibatkan seorang lelaki dewasa melecur. FOTO Hafizudin Mohd Safar
Hafizudin Mohd Safar


Kangar: Seorang lelaki melecur di belakang badan ketika cuba mengambil dokumen di rumahnya yang terbakar di Kampung Stesen, di sini, jam 12 tengah hari tadi.

Mohd Azwan Mohd Arif, 35, kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah dan difahamkan keadaannya stabil.

Dalam kejadian itu, tiga tukang rumah yang sedang memasang bumbung di kediaman bersebelahan bergegas membantu sebaik menyedari rumah itu terbakar sekali gus menyelamatkan nyawa penghuninya.

Ketiga-tiga mereka dikatakan menarik keluar dua kanak-kanak perempuan berusia tiga dan empat tahun ketika api marak membakar kediaman mangsa.

Tukang rumah, Ibrahim Sahak, 40, berkata, dia dan dua rakannya bergegas turun dari bumbung yang sedang dibaiki kerana khuatir pemilik rumah bersebelahan tidak sedar dengan kebakaran itu.

"Kami terjun dari bumbung sebelum bawa keluar dua kanak-kanak perempuan. Kami khuatir bahagian atas rumah yang terbakar menghempap kanak-kanak itu bersama bapa dan datuk saudara mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Arau Ahmad Nor Syamsi Zainoldin berkata, siasatan mengenai punca kebakaran masih dilakukan.

"Kebakaran turut memusnahkan dua motosikal dan nilai kerugian dianggarkan RM40,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 3:57 PM