TUJUH daripada lapan sekeluarga melecur anggota badan dalam kejadian kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Cahaya Alam Seksyen U12, awal pagi tadi. FOTO ihsan JPBM Selangor.
TUJUH daripada lapan sekeluarga melecur anggota badan dalam kejadian kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Cahaya Alam Seksyen U12, awal pagi tadi. FOTO ihsan JPBM Selangor.
Norzamira Che Noh


LAPAN beranak terpaksa terjun daripada tingkat satu rumah mereka di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam bagi menyelamatkan diri selepas kediaman itu terbakar, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.36 pagi itu, tujuh daripada mereka dilaporkan melecur lima hingga 40 peratus.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.36 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik dan BBP Shah Alam bergegas ke lokasi kejadian.

"Kebakaran itu membabitkan rumah teres dua tingkat dengan keluasan 1,650 kaki persegi dan terbakar 100 peratus.

"Ketika kejadian, difahamkan kesemua mangsa sedang tidur di tingkat atas rumah dan menurut laporan daripada mangsa, kebakaran berkenaan berpunca dari tingkat bawah.

"Oleh kerana terperangkap, kesemua mangsa bertindak terjun daripada tingkat atas kediaman berkenaan untuk menyelamatkan diri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, rumah berkenaan didiami lapan sekeluarga iaitu pasangan suami isteri dan enam anak mereka berusia dalam lingkungan empat hingga 17 tahun.

Katanya, pasangan suami isteri dan lima anak mereka mengalami kecederaan dalam kebakaran itu.

"Ibu melecur 20 peratus, bapa (5 peratus), anak keempat iaitu kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun melecur (40 peratus) manakala anak ke enam iaitu kanak-kanak lelaki berusia empat tahun pula melecur 20 peratus.

"Tiga lagi anak pasangan berkenaan berusia 17 (perempuan), 12 serta 10 tahun (lelaki) melecur sebanyak lima peratus," katanya.

Katanya, hanya anak kedua iaitu lelaki berusia 14 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden itu.

Norazam berkata, kesemua mangsa di bawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 1:50 PM