Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Seorang lelaki warga emas rentung manakala dua beranak melecur selepas rumah mereka di Rumah Murah Kepayan di sini, terbakar berpunca daripada tindakan jiran membakar tilam, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.10 tengah malam itu, Liew Han Chong, 65, ditemui rentung di dalam tandas tingkat atas rumahnya.

Manakala dua mangsa melecur adalah seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dan ibunya yang berusia 32.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca akibat seorang lelaki yang bertengkar dengan ibu saudaranya bertindak membakar tilam di biliknya.

Katanya, api kemudian merebak ke rumah jiran dan suspek bersama tiga ahli keluarga sempat menyelamatkan diri manakala jirannya ditemui rentung.

"Bertindak atas maklumat, polis menahan suspek berusia 20-an itu kira-kira jam 4 pagi tadi untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat," katanya ketika dihubungi.

LELAKI warga emas rentung dalam kebarakan di Rumah Murah Kepayan, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
LELAKI warga emas rentung dalam kebarakan di Rumah Murah Kepayan, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.24 tengah malam sebelum mengerahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu dan Lintas untuk operasi pemadaman api kebakaran.

"Kekuatan anggota seramai 31 orang termasuk pegawai dengan tiga jentera kecemasan Fire Rescue Tender (FRT), dua jentera tangki air dan tiga kenderaan Rapid Intervention Motorcycle (RIM).

"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.28 pagi sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.56 pagi," katanya.

katanya, mangsa yang cedera menerima rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dihantar ke hospital berdekatan untuk tindakan susulan.

"Pemeriksaan di dalam rumah yang musnah terbakar turut menemukan satu mayat lelaki yang rentung sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2020 @ 2:44 PM