TADIKA di Guiyang meletakkan kain rentang di pintu masuk yang bermaksud: “Banteras awal, banteras ketika muda. Hapuskan kejahatan ketika ia sedang berputik”. Ia kemudian dibawa turun. FOTO Weibo
TADIKA di Guiyang meletakkan kain rentang di pintu masuk yang bermaksud: “Banteras awal, banteras ketika muda. Hapuskan kejahatan ketika ia sedang berputik”. Ia kemudian dibawa turun. FOTO Weibo
Agensi

JIANGSU: Dua pegawai pendidikan di timur China dipecat selepas mengesyaki 35 murid di sebuah tadika terbabit dalam jenayah terancang, baru-baru ini.

Penduduk di bandar Wuxi terkejut membaca satu nota yang didedahkan di internet mengatakan kanak-kanak tadika Xinguang yang berusia empat dan lima tahun disiasat biro pendidikan.

Siasatan itu dikatakan sebahagian daripada usaha kerajaan China untuk melumpuhkan kumpulan mafia, lapor South China Morning Post.

Borang yang ditandatangani dua guru turut menyatakan ‘tiada murid didapati terbabit dalam jenayah terancang’.

Sumber dari Biro Pendidikan Wuxi mengesahkan kepada akhbar Chengdu Economic Daily siasatan dilakukan di sekolah bagi menjejaki anggota kumpulan jenayah.

Bagaimanapun, sumber itu menegaskan biro pendidikan sebenarnya menyiasat guru dan ibu bapa murid tadika berkenaan.

Namun, pada Khamis lalu, kerajaan Wuxi mengkritik pegawai pendidikan di daerah Xishan kerana menyalah tafsir arahan.

Susulan itu, dua pegawai tinggi dari Xishan dipecat manakala seorang lagi diberi amaran keras kerana mencetuskan publisiti negatif.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 8:12 PM