Meor Riduwan Meor Ahmad


PENUNTUT Malaysia di Sudan masih menunggu keputusan rasmi daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Sudan berhubung pembukaan semula universiti di negara itu yang ditutup susulan insiden rusuhan penduduknya bulan lalu.

Difahamkan ketika ini terdapat 105 penuntut Malaysia sedang mengikuti pengajian di sana dan kebanyakan mereka sedang menduduki peperiksaan.

Menurut penuntut Pengajian Islam Pengkhususan Sirah dan Dakwah, Universiti Antarabangsa Afrika, Muhammad Syamim Sazli, 24, mereka masih menunggu berita daripada KPT Sudan bila universiti dibenarkan beroperasi semula.

"Kami ada bertanya kepada pejabat universiti kami, tapi mereka belum beri keputusan. Belum ada jangkaan bila akan dibuka kerana semuanya bergantung kepada KPT Sudan.

"Mereka (KPT) hanya beri kenyataan semua institut pendidikan Sudan akan ditutup sehingga dimaklumkan akan dibuka semula," katanya dihubungi melalui WhatsApp, hari ini.

Muhammad Syamim mengulas perkembangan semasa penuntut Malaysia susulan pergolakan di Khartoum dan beberapa bandar lain sejak 19 Disember lalu.

Katanya, setakat ini dia dan isterinya tidak berdepan halangan untuk keluar rumah memandangkan rusuhan berlaku agak jauh iaitu kira-kira 15 hingga 20 kilometer atau sejam perjalanan dengan bas dari kediaman mereka di Khartoum.

"Rusuhan berkenaan bukanlah berlaku berterusan, hanya beberapa ketika sahaja, cuma kami masih menunggu maklum balas KPT bila universiti akan dibuka.

"Kalau ikut Facebook beberapa rakyat Sudan, mereka akan buat demonstrasi selepas Jumaat esok. Saya difahamkan ada kalangan mereka bertindak ganas dengan melontar batu dan kayu kepada polis, tapi bukan semua, ada yang berdemonstrasi saja dan terus pulang selepas itu," katanya.

Berhubung arahan Kedutaan Sudan di Malaysia supaya semua penuntut terbabit pulang, Muhammad Syamim berkata, mereka menunggu arahan yang lebih jelas.

"Setakat ini memang kami dinasihatkan balik, cuma rata-rata masih menunggu keputusan universiti kerana kawasan kampus kami masih lagi stabil untuk keluar. Malah, pihak universiti turut menasihatkan supaya kami tidak pulang sehingga arahan KPT diterima.

Sementara itu, Presiden Persatuan Mahasiswa Malaysia Sudan(PMMS), Mohd Alif Mohd Ludin berkata, beliau berpendapat tiada keperluan untuk penuntut kembali ke tanah air memandangkan keadaan rusuhan yang semakin terkawal kini berbanding dua minggu lalu.

"Yang jelas rusuhan berlaku jauh dari kawasan penempatan pelajar iaitu di bandar Makmurah dan Arkaweet serta terkawal. Kami bebas dan selamat untuk keluar rumah termasuk ke pasar raya.

"Rusuhan berlaku pada Jumaat saja berdekatan istana presiden dan kawasan pentadbiran kerajaan di bandar Al-Araby," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan rakan pelajar selain keluarga di Malaysia bagi memaklumkan perkembangan di sana.

Terdahulu, media melaporkan 105 penuntut tempatan ‘terperangkap’ ekoran penutupan universiti yang disebabkan pergolakan yang berlaku di Khartoum, Sudan sejak 19 Disember lalu.

Beratus-ratus perusuh dan penunjuk perasaan membanjiri jalan raya Khartoum dan sekitar bandar lain bagi menggesa Presiden Sudan, Omar al-Bashir meletakkan jawatan selepas kerajaan menaikkan kos roti menyebabkan kos sara hidup semakin meningkat.

Berita berkaitan:

  • 105 penuntut Malaysia 'terperangkap'
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 8:48 PM