JENTERA digunakan untuk menjalankan kerja-kerja menyelamat di Lombong Battlefields. FOTO AFP
JENTERA digunakan untuk menjalankan kerja-kerja menyelamat di Lombong Battlefields. FOTO AFP
AFP

HARARE: Pasukan penyelamat menemui 24 mayat serta lapan mangsa terselamat dari banjir di dua lombong emas semalam dan pihak berkuasa percaya, puluhan pelombong haram masih terperangkap di kedua-dua kawasan itu.

Stesen televisyen tempatan, Perbadanan Penyiaran Zimbabwe melaporkan, kerja-kerja menyelamat masih diteruskan di Lombong Battlefields.

Dua lombong berkenaan yang terletak berhampiran pekan Kadoma, 145 kilometer di barat daya Harare, sudah tidak digunakan lagi.

Laporan turut menyebut, mangsa yang terselamat diberi rawatan awal di lokasi sebelum dibawa ke hospital dan berada dalam keadaan stabil.

Dalam satu klip di Twitter, seorang mangsa terselamat memberitahu wartawan paras air naik sehingga ke leher, membuatkan mereka terpaksa berdiri selama berhari-hari sebelum surut.

Jumaat lalu, kerajaan memberitahu sekurang-kurangnyanya 60 hingga 70 pelombong tanpa izin terperangkap di dua lombong terbabit.

Menteri tempatan, July Moyo dalam satu kenyataan berkata, mereka memerlukan bantuan AS$200,000 (RM816,900) untuk mengepam air, memberi makan keluarga mangsa, membiayai kerja-kerja menyelamat, pengangkutan dan pengebumian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 8:23 PM