Sebahagian kasut yang dicuri Endo. Foto Daily Mirror
Sebahagian kasut yang dicuri Endo. Foto Daily Mirror
Agensi

TOKYO: Seorang lelaki di Jepun ditangkap selepas didapati mencuri lebih 100 pasang kasut semata-mata untuk menghidu bau busuk kasut berkenaan untuk ‘kepuasan seksual.’

Makoto Endo, 40, mencuri kasut di daerah Tochigi dan Saitama, timur Jepun dan memberitahu dia ketagih menghidu bau kasut yang lusuh serta busuk.

Endo juga memberitahu, dia tidak kisah sekiranya kasut yang dicuri itu milik lelaki atau wanita dan kasut yang busuk adalah paling disukainya.

Daily Mirror melaporkan, lelaki itu kini didakwa di mahkamah atas tuduhan mencuri selepas polis menemui berpuluh-puluh kasut di rumahnya.

Dia juga dilaporkan ketagih dengan bau kasut yang didakwanya boleh meningkatkan nafsu seksnya.

Media tempatan melaporkan, Endo mencuri lebih 108 pasang kasut bernilai kira-kira £2,100 (RM11,053) di Tochigi dan Saitama antara Jun 2017 hingga Ogos 2018.

“Saya mendapat kepuasan seksual dengan menghidu bau kasut yang busuk dan lusuh tanpa mengira pemiliknya lelaki atau perempuan,” kata Endo ketika disoal siasat.

Endo ditangkap pada September lalu selepas mengesyakinya terbabit dalam banyak kecurian kasut yang dilaporkan di dua daerah itu.

Polis kemudian menggeledah rumahnya dan menjumpai sejumlah kasut berkenaan yang disimpan rapi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 12:56 AM