ENDO sertai Liverpool dengan kontrak jangka panjang. FOTO FAIL AFP
ENDO sertai Liverpool dengan kontrak jangka panjang. FOTO FAIL AFP
Reuters

London: Liverpool menandatangani pemain tengah Jepun, Wataru Endo dari VfB Stuttgart dengan kontrak jangka panjang, umum kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, hari ini.

Butiran kewangan lanjut tidak didedahkan, tetapi media Britain melaporkan Liverpool menawarkan sekitar £16 juta (RM94.64 juta) untuk mendapatkan pemain berusia 30 tahun yang memiliki 50 kap dengan Jepun itu.

"Saya sangat gembira sekarang dan tidak sabar untuk menyertai kelab besar di Liverpool," kata Endo dalam satu kenyataan.

"Rasanya sangat hebat dan inilah impian saya. Sentiasa menjadi impian untuk bermain di EPL dan salah satu kelab terbesar di dunia. Ini adalah mimpi menjadi kenyataan buat saya.

"Saya bermain sebagai pemain jersi nombor 6 dan lebih kepada pertahanan. Saya fikir mampu membantu kelab ini bertahan dan mampu menyusun jentera tengah. Saya fikir, itu adalah tugas saya."

Endo adalah pemain ketiga ditandatangani Liverpool pada musim ini selepas Alexis Mac Allister dan Dominik Szoboszlai, pada ketika kelab itu mencari pengganti berikutan pemergian ramai pemain tengah berpengalaman.

Mereka gagal mendapatkan Moises Caicedo dan Romeo Lavia, yang kedua-duanya menandatangani kontrak jangka panjang bersama Chelsea.

Liverpool seri 1-1 dengan Chelsea pada perlawanan pembukaan EPL, hujung minggu lalu dan akan berdepan Bournemouth, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 9:44 PM