REAKSI Klopp (kanan) ketika bertemu Chelsea pada aksi Liga Perdana. FOTO AFP
REAKSI Klopp (kanan) ketika bertemu Chelsea pada aksi Liga Perdana. FOTO AFP
Agensi

London: Jurgen Klopp berkata sukar bagi Liverpool untuk bersaing dengan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berbelanja besar serta pasukan Arab Saudi.

Bagaimanapun pengendali dari Jerman itu secara peribadi percaya The Reds berjaya meraih pembelian berbaloi apabila menandatangani kapten Jepun, Wataru Endo.

Liverpool mengesahkan perpindahan pemain tengah Stuttgart itu dengan yuran perpindahan kira-kira £16.2 juta (RM95.9 juta) menerusi kontrak sehingga 2027.

Endo menjadi pemain ketiga disambar Liverpool pada musim panas sekali gus menyelesaikan masalah di bahagian tengah.

Ia selepas The Reds gagal mendapatkan Moises Caicedo dan Romeo Lavia, yang menyaksikan kedua-duanya berhijrah ke Chelsea.

Klopp berkata Liverpool tidak akan menggunakan wang sebagai alasan kesukaran mengharungi musim ini walaupun hakikatnya sukar bersaing dengan kelab gergasi lain.

"Sesetengah kelab mempunyai cara berbeza dan tiada sesiapa yang memahami 100 peratus keupayaan sesebuah kelab itu.

"Sebagai kelab yang biasa, memang sukar untuk bersaing dengan mereka. Anda hanya menonton apa yang mereka lakukan, tetapi tidak mengapa.

"Saya tidak menyalahkan sesiapa. Kemudian tawaran dari kelab Arab Saudi semakin menjadikan perkara ini lebih sukar.

"Jendela perpindahan di liga Inggeris berakhir pada penghujung Ogos dan di sana (Arab Saudi) masih terbuka, jadi jika pemain tidak berpuas hati mereka (kelab Arab Saudi) akan mengemukakan tawaran lebih lumayan.

"Tiga minggu lalu tiada siapa menyangka Neymar akan berhijrah ke sana.

"Kami tidak mempunyai hak untuk menyatakan ia tidak dibenarkan, tetapi akhirnya faktor wang yang menimbulkan masalah. Alangkah baiknya jika ada yang dapat mencari jalan penyelesaian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 5:51 PM