FOTO Majlis Eropah
FOTO Majlis Eropah
Agensi

MAHKAMAH Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) baru-baru ini memutuskan bahawa adalah menjadi satu kesalahan memfitnah Nabi Muhammad SAW.

Ia juga menyatakan bahawa perbuatan atau aktiviti memfitnah Rasulullah melangkaui had kebebasan berucap, lapor agensi berita Anadolu, Khamis lalu.

ECHR membuat keputusan itu ketika mengekalkan sabitan bersalah wanita Austria kerana menggelar Nabi Muhammad SAW pidofilia.

Mahkamah berkenaan yang terletak di Strasbourg, Perancis, memutuskan bahawa mahkamah di Austria ‘secara berhati-hati mengimbangkan haknya untuk kebebasan bersuara dengan hak orang lain untuk memastikan agama mereka dilindungi,’ lapor portal Deutsche Welle.

Wanita berusia lewat 40-an hanya dikenali sebagai ES itu membuat dakwaan dalam dua seminar awam pada 2009 bahawa perkahwinan Nabi Muhammad SAW dengan Siti Aishah sebagai perbuatan fidofilia.

Susulan itu, mahkamah di Vienna mendapatinya bersalah pada 2011 atas tuduhan menghina doktrin keagamaan dan mengarahkannya membayar denda 480 euro (RM2,300) selain kos.

Keputusan itu disahkan mahkamah rayuan di Austria menyebabkan ES mengemukakan rayuan di ECHR.

Agensi berita AP yang memetik penghakiman ECHR berkata, keputusan mahkamah Austria ‘memenuhi tujuan sahih dalam melindungi kedamaian agama.’

Menurut Fox News, ECHR memutuskan menghina Nabi Muhammad SAW ‘melampaui had dibenarkan untuk mengadakan debat secara objektif’ malah mampu mencetuskan prejudis seterusnya menggugat kedamaian agama.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 9:05 PM