Sejak kebelakangan ini, bibit perpecahan semakin kuat bertiup dalam masyarakat Malaysia. Isu perkauman dan agama masih dimanfaatkan untuk mendapat sokongan, bahkan kini semangat kenegerian cuba dijadikan modal provokasi, khususnya pasca pilihan raya. Sentimen ini sangat tidak baik terhadap keutuhan masyarakat dan negara Malaysia.
Isu 3R yang melibatkan kaum, agama dan raja adalah isu sensitif dan boleh mencetuskan perbalahan dan konflik. Stereotaip kaum dan agama ditimbulkan oleh provokator, misalnya menghina orang Melayu sebagai tidak bijak dan mundur, Islam agama barbarik dan akan menzalimi orang bukan Islam. Malah, ada pihak yang menghina raja-raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong.
Begitu juga ada yang memainkan semangat kenegerian dengan menghina negeri Melayu sebagai miskin dan terkebelakang. Tidak kurang juga ada yang berkempen untuk menghalau orang negeri lain, memboikot kedai makan milik orang negeri lain, membataskan peluang pekerjaan dan seumpamanya.
Menoleh ke belakang pada zaman awal kemerdekaan, terdapat juga provokasi negatif berunsurkan stereotaip kaum. Misalnya, gesaan bangsa lain untuk pulang ke tanah besar asal mereka, pulang ke estet bagi orang India dan balik ke lombong bijih bagi orang Cina. Namun, seruan sebegitu berjaya dibasmi tuntas oleh kerajaan dan masyarakat majmuk dapat meneruskan kehidupan bersama dengan lebih aman.
Namun, kini stereotaip kenegerian dicanang sebagai hukuman kerana mereka yang berbeza pandangan dan pilihan. Sedangkan seruan melampau ini tidak pernah timbul dalam masyarakat Malaysia. Malah, golongan pendatang diberi ruang mencari rezeki di negara ini, inikan pula penduduk asal di negara ini yang ingin dinafikan hak kerana berbeza pilihan.
Unsur provokasi yang melibatkan ungkapan kebencian sebegini tidak menyumbang kepada perpaduan negara yang sudah lama diusahakan, sebaliknya melebarkan jurang dan membuka ruang baharu dalam hubungan yang berbentuk negatif. Selain daripada jurang kaum dan agama, ditambah lagi dengan jurang negeri, keadaan ini akan memburukkan lagi polarisasi kaum, agama dan negeri.
Ungkapan kebencian dilakukan untuk menghasut dan mendorong kebencian terhadap individu atau kelompok tertentu dalam masyarakat yang berbeza dari aspek asal usul tanah kelahiran agar terjadinya diskriminasi dan kekerasan terhadap mereka. Usaha kelompok provokator ini dengan sengaja menebarkan rasa benci terhadap penduduk negeri lain yang sedang mencari rezeki di negeri mereka. Tambahan pula, perkembangan teknologi maklumat kini dengan mudah telah membuka ruang kepada pihak pengujar kebencian ini menimbulkan rasa benci dan menyebarkannya melalui berbagai platform media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Tiktok atau WhatsApp. Ia disambut oleh kelompok yang sealiran. Mereka menghabiskan masa di media sosial, membuat ungkapan kebencian, kemudian dikongsi, diberi komentar dan saling menghujat dan bergaduh tanpa noktah. Perkara yang sia-sia ini dilakukan saban hari tanpa memikirkan dosa dan pahala serta keberkatan dalam hidup.
Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang mafhumnya: "Seorang Muslim sejati adalah apabila seorang Muslim lain selamat daripada lidah dan tangannya" - (Muttafaq alayh). Berdasarkan hadis ini, selamat daripada lidah dapat dijelaskan sebagai tidak menggunakan lidah untuk memaki, melaknat, memfitnah, mengumpat, menghasut, memprovokasi, mengungkap kebencian dan seumpamanya. Manakala, selamat daripada tangan dapat dihuraikan sebagai tidak menggunakan tangan untuk menaip perkara negatif dan dikongsi, memukul, melukakan, memboikot atau tidak menyalahgunakan kuasa untuk menyeksa dan menzalimi orang.
Dalam hadis lain, Nabi Muhammad SAW menegaskan bahawa golongan yang mengungkap kebencian atau menjadi batu api akan menerima balasan neraka. Sabda Nabi SAW: "Tidak masuk syurga orang yang menjadi batu api" - (HR al-Bukhari). Berdasarkan hadis tersebut, setiap orang sama ada pengguna media sosial biasa atau laskar siber (cybertrooper) perlu mengambil ingatan agar tidak terjebak dalam provokasi yang melibatkan ungkapan kebencian melalui perkataan atau perbuatan kerana boleh menjejaskan keharmonian antara negeri, kaum dan agama di Malaysia. Ini kerana keharmonian yang dikecapi selama ini adalah nikmat yang dicemburui pihak luar, sedangkan kita dengan mudah mempertaruhkannya demi kepentingan dan nafsu sendiri.
Dalam hadis lain, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Hendakkah kamu aku beritahu akan seburuk-buruk orang dalam kalangan kamu? Iaitu mereka yang sentiasa mengadu domba, merosakkan hubungan orang yang berkasih sayang, serta mereka yang mahukan kesusahan kepada orang yang tidak bersalah." (HR al-Bukhari)
Jelasnya mereka yang terlibat dalam ungkapan kebencian dan hasutan ini termasuk dalam kalangan seburuk-buruk manusia kerana perbuatan adu domba dan inginkan kesusahan kepada orang yang tidak bersalah. Ini disebabkan perbuatan mereka boleh menyuburkan prasangka dan diskriminasi terhadap pihak lain, mendorong perlakuan kekerasan, menyebabkan kerugian berbentuk kebendaan, malah boleh menimbulkan konflik antara negeri, kaum dan agama, walaupun tidak sampai ke tahap pembersihan etnik (ethnic cleansing).
Sempena ulang tahun kemerdekaan ke-66, marilah bersatu umpama 'biduk lalu, kiambang bertaut' kerana bukankah kita bangsa Malaysia Madani yang cintakan perpaduan, kedamaian dan keharmonian?
Penulis Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)