TENTERA India dan AS ketika menjalani latihan. FOTO/AGENSI
TENTERA India dan AS ketika menjalani latihan. FOTO/AGENSI
AFP

NEW DELHI: Tentera Amerika Syarikat (AS) dan India akan menjalankan satu latihan ketenteraan skala besar di luar perairan negara itu tahun depan, kata pegawai atasan hari ini.

Latihan ketenteraan itu adalah yang pertama seumpamanya oleh kerana pasukan pertahanan kedua-dua negara tidak pernah berlatih secara serentak di udara, darat dan laut.

Menteri Pertahanan India, Nirmala Sitharaman membuat pengumuman itu pada penghujung pertemuan dengan Setiausaha Pertahanan AS, Jim Mattis, Setiausaha Negara Mike Pompeo dan Menteri Luar India, Sushma Swaraj.

“Kami memutuskan untuk menjalankan latihan bersama tri-perkhidmatan buat kali pertama dengan AS di luar pantai timur India pada 2019,” kata Sitharaman.

Kedua-dua negara juga menandatangani satu ‘Perjanjian Keselamatan dan Keserasian Komunikasi’ dikenali sebagai COMCASA, yang membolehkan mereka bertukar maklumat sensitif tentera secara segera dan selamat.

Mattis dan Sitharaman menandatangani perjanjian COMCASA dalam satu acara ringkas awal Jumaat lalu.

AS hanya menandatangani perjanjian COMCASA dengan sekutu dipercayai dan Washington berharap mendalamkan hubungan ketenteraannya dengan India.

Washington bagaimanapun bimbang dengan satu perjanjian akan datang dilakukan India dengan Russia untuk membeli sistem peluru berpandu S-400.

India dan AS juga berikrar kerjasama lebih erat dalam operasi anti-keganasan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 10:59 PM