BANGKAI pesawat F-16 Israel yang ditembak jatuh oleh Syria ketika menyerang dron Iran di sempadannya dengan Syria, Februari lalu. - REUTERS(Fail)
BANGKAI pesawat F-16 Israel yang ditembak jatuh oleh Syria ketika menyerang dron Iran di sempadannya dengan Syria, Februari lalu. - REUTERS(Fail)
AFP

Baitulmaqdis: Israel menegaskan ia akan menyerang sasaran ketenteraan Iran di Syria selepas dua negara itu menandatangani perjanjian kerjasama pembangunan semula Syria dan ketenteraan.

“Perjanjian yang dipersetujui Bashar al-Assad (Presiden Syria) dan Iran mencabar Israel dan tindak balas kami jelas.

“Kami tidak akan membenarkan Iran mempunyai kemudahan tentera di Syria.

“Israel akan bertindak di Syria dengan semua kekuatan kami ada terhadap sebarang sasaran ketenteraan Iran yang mengancam Israel.

“Jika pertahanan udara Syria masuk campur, mereka perlu menerima padahnya,” kata Menteri Perisikan Israel, Yisrael Katz, melalui radio negara itu.

Selasa lalu, wakil rasmi tentera Iran ke Damsyik, Brigadier Jeneral Abolghasem Alinejad, menyatakan, penasihat tentera negara itu akan kekal berada di Syria melalui perjanjian yang ditandatangani Isnin lalu.

“Sokongan untuk kedaulatan dan kemerdekaan wilayah Syria juga menjadi agenda penting dalam perjanjian itu,” katanya.

Iran menyediakan sokongan politik, kewangan dan ketenteraan kepada rejim Assad sejak perang meletus di Syria tujuh tahun lalu, yang turut menarik campur tangan asing, terutama Russia serta Amerika Syarikat dan sekutunya.

Israel cuba mengelak daripada terbabit secara langsung dalam konflik itu, namun mengakui melakukan puluhan serangan udara di Syria dengan alasan menghalang penghantaran senjata oleh Iran kepada sekutunya, Hezbollah di Lubnan.

Selain itu, beberapa serangan udara yang membunuh sejumlah rakyat Iran di Syria juga dipercayai dilakukan Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 9:37 AM