GAMBAR hiasan, jet F15.
GAMBAR hiasan, jet F15.
Agensi

Washington: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Jim Mattis dan rakan sejawatannya dari Qatar, Khalid Al-Athhiyah semalam menandatangani persetujuan jual beli jet pejuang F-15 bernilai kira-kira AS$12 bilion (RM51.21 bilion).

Perjanjian itu ditangani ketika krisis di Teluk semakin serius selepas jiran Qatar menuduhnya menyokong keganasan dan memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan.

Presiden Amerika, Donald Trump menyuarakan sokongan terhadap tindakan yang diketuai Arab Saudi itu tetapi pegawai Amerika Syarikat yang lain mengambil sikap lebih berhati-hati dan mendesak krisis itu ditamatkan menerusi dialog.

“Penjualan jet itu akan memberikan keupayaan terkini kepada Qatar dan meningkatkan kerjasama pertahanan antara Amerika Syarikat dan Qatar,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Pentagon.

Mattis dan al-Attiyah juga membincangkan isu keselamatan bersama, termasuk perkembangan memerangi Daish dan kepentingan negara Teluk meredakan ketegangan bagi membolehkan negara berkenaan memberi tumpuan terhadap langkah selanjutnya bagi memenuhi matlamat bersama.

Pentagon tidak memberi maklumat lanjut mengenai penjualan itu.

Di Doha, seorang pegawai Qatar berkata, perjanjian itu membuktikan negara itu mempunyai sokongan padu daripada Amerika Syarikat sehinggakan sengketa negara itu dengan negara Arab lain tidak dapat menjejaskan hubungan kedua-dua negara itu.

Satu sumber Kementerian Pertahanan Qatar berkata, perjanjian itu membabitkan pembelian 36 Jet F-15.

November lalu, di bawah pentadbiran Barack Obama, Amerika Syarikat meluluskan penjualan sehingga 72 pesawat pejuang F-15QA.

Kontraktor utama, Boeing, enggan mengulas.

Qatar ialah pangkalan penting untuk tentera Amerika Syarikat melancarkan operasi terhadap Daish dan kumpulan militan lain di Iraq, Syria dan Afghanistan. Pangkalan udara Al-Udeid di Qatar menempatkan lebih 11,000 askar Amerika dan negara sekutunya.

Dalam pada itu, agensi berita Qatar berkata, dua kapal perang Amerika Syarikat tiba di Pelabuhan Hamad untuk menyertai latihan tentera bersama kedua-dua negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2017 @ 6:34 AM