TAUFAN Ampil yang melanda bandar raya Shanghai, China hari ini menyebabkan sekurang-kurangnya 600 penerbangan dari dua lapangan terbang di Shanghai dibatalkan. Foto Google Images
TAUFAN Ampil yang melanda bandar raya Shanghai, China hari ini menyebabkan sekurang-kurangnya 600 penerbangan dari dua lapangan terbang di Shanghai dibatalkan. Foto Google Images
Reuters

SEKURANG-kurangnya 600 penerbangan dari dua lapangan terbang di Shanghai dibatalkan dan perkhidmatan kereta api laju turut terjejas selepas Taufan Ampil melanda bandar raya Shanghai, China hari ini, kata penyiar tempatan, CCTV.

Pusat Meteorologi Kebangsaan berkata, taufan itu mula melanda pulau Chongming, 45 kilometer ke timur bandar raya itu dengan membawa angin selaju 100 kilometer sejam.

Agensi berita Xinhua berkata, pihak berkuasa tempatan sudah memindahkan kira-kira 190,000 penduduk di kawasan pesisir pantai awal pagi tadi.

Xinhua turut memetik kenyataan Shanghai Disney Resort yang mengesahkan operasi berjalan seperti biasa tetapi ada permainan luar dan persembahan digantung sementara ketika musim hujan lebat atau angin kuat.

Sementara itu, Menara Shanghai, bangunan tertinggi di China menggantung lawatan ke aras bumbung untuk melihat pemandangan.

Wilayah jiran, Zhejiang dan Jiangsu turut memindahkan lebih 42,500 penduduk, manakala lebih 28,000 kapal termasuk 22,900 bot nelayan kembali ke pelabuhan di Zhejiang.

Hujan lebat dan ribut petir dalam tempoh beberapa minggu menyebabkan bencana di seluruh China, dengan limpahan air sungai menyebabkan banjir sehingga merosakkan jambatan, menghalang jalan, kereta api dan memaksa ribuan penduduk dipindahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 8:17 PM