GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Reuters

POLIS China mematahkan sindiket yang mengendalikan platform siaran langsung pornografi dari Kemboja, hari ini, menerusi penghantaran pulang 18 suspek, lapor agensi berita rasmi Xinhua.

Difahamkan, aplikasi itu mempunyai 3.5 juta ahli berdaftar dan merekodkan nilai transaksi sebanyak AS$36.5 juta (RM151.11 juta).

Polis di wilayah timur China, Zhejiang berkata, geng itu mengupah lebih 16,000 orang untuk merekrut ahli untuk aplikasi itu yang mempunyai kira-kira 110 platform siaran langsung pornografi selain menyimpan ratusan ribu video.

Xinhua berkata, lebih 200 orang yang mempunyai kaitan dengan operasi platform itu ditahan, April lalu, namun aplikasi terbabit terus beroperasi dan promosinya menerusi media sosial semakin hebat, susulan penangkapan.

Polis China akhirnya mendapati pangkalan data untuk aplikasi itu berada di Kemboja dan menangkap geng platform pornografi itu, Ogos lalu dengan kerjasama pihak berkuasa Kemboja, kata laporan itu.

Pornografi diharamkan di China.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 9:59 PM