Pelancong serta pengembara memeriksa jadual penerbangan di lapangan terbang Ngurah Rai, Denpasar, Bali. FOTO AFP
Pelancong serta pengembara memeriksa jadual penerbangan di lapangan terbang Ngurah Rai, Denpasar, Bali. FOTO AFP
Reuters

DENPASAR: Lapangan terbang di pulau peranginan terkenal Indonesia di Ngurah Rai, Bali, dibuka semula hari ini selepas abu gunung berapi memaksa penutupan sementara dan pembatalan lebih 300 penerbangan.

Gunung Agung di timur laut Bali kembali aktif berselang seli sejak akhir tahun lalu dan ia mula mengeluarkan asap dan debu sekali lagi semalam.

Gunung berapi itu memuntahkan debu menegak lebih 2,500 meter ke udara hari ini dan pihak berkuasa berkata, operasi di lapangan terbang kedua paling sibuk Indonesia itu akan diteliti sejak beberapa jam.

Terdahulu, pihak berkuasa terpaksa membatalkan 115 penerbangan antarabangsa dan 203 domestik, menjejaskan hampir 27,000 pelancong.

“Kami sedang memantau letusan. Lapangan terbang boleh ditutup semula jika letusan menjejaskan keselamatan penerbangan,” kata jurucakap pengendali lapangan terbang Angkasa Pura, dikenali Israwadi.

Syarikat penerbangan mengelak terbang melalui debu gunung berapi oleh kerana ia boleh merosakkan enjin pesawat, menyekat bahan api dan sistem penyejukan serta menjejaskan penglihatan.

Gunung Agung yang terletak di timur Bali mempunyai ketinggian sedikit melebihi 3,000 meter. Kali terakhir ia meletus ialah pada 1963, mengorbankan lebih 1,000 orang dan membakar beberapa perkampungan.

Jurucakap agensi pencegahan bencana, Sutopo Purwo Nugroho berkata, aktiviti sedang berlaku jauh di bawah dasar gunung berapi.

“Gegaran mikro masih dikesan, menunjukkan magma sedang bergerak ke arah permukaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 7:45 PM