GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Reuters

ASKAR Filipina secara tidak sengaja menembak mati enam anggota polis dan mencederakan sembilan yang lain dalam satu operasi memburu gerila komunis di hutan tebal di selatan negara itu hari ini, kata tentera.

Satu platun askar yang ditempatkan di kampung terpencil di pulau Samar menyerang sekumpulan anggota polis selepas menyangka mereka adalah gerila Tentera Baru Rakyat (NPA), kata Mejar Jeneral, Raul Farnacio.

Farnacio berkata, kejadian itu adalah satu insiden yang malang.

“Apabila berada di kawasan hutan yang tebal, sukar untuk anda pastikan siapa yang ada di depan,” katanya dengan menambah tiada anggota tentera yang terkorban.

“Kumpulan satu lagi turut membalas tembakan. Kami masih menyiasat untuk mengetahui bagaimana dua kumpulan ini boleh bertembung,” jelasnya.

Ketua Polis Filipina, Oscar Albayalde berkata, pasukan polis akan ke lokasi itu untuk membuat siasatan.

NPA adalah sayap bersenjata parti komunis Filipina yang melancarkan pemberontakan sejak hampir 50 tahun lalu.

Pemberontakan di selatan Filipina itu meragut lebih 40,000 nyawa dan menyebabkan pembangunan di wilayah yang kaya dengan sumber alam itu tergendala.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 12:19 AM