ANGGOTA sayap bersenjata komunis, NPA berbaris di satu lokasi tidak diketahui di selatan Filipina. - Agensi
ANGGOTA sayap bersenjata komunis, NPA berbaris di satu lokasi tidak diketahui di selatan Filipina. - Agensi
Agensi

Manila: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengumumkan rancangan untuk menjimatkan bajet pertahanan negara itu dengan menawarkan ganjaran 25,000 peso (RM1,861) bagi setiap pemberontak yang berjaya dibunuh oleh mana-mana individu.

Pemimpin yang terkenal dengan kenyataan lantang membuat tawaran itu beberapa hari selepas mengarahkan askarnya menembak anggota gerila wanita di kemaluan mereka bagi menunjukkan bahawa mereka tidak berguna.

Duterte, 72, memberitahu bahawa pemberontak senang dibunuh kerana kepala mereka besar, tetapi tidak menjelaskan bagaimana ganjaran berbentuk wang itu dapat menjimatkan perbelanjaan ketenteraan.

Tentera sebelum ini meningkatkan operasi terhadap Tentera Baru Rakyat (NPA), sayap bersenjata Parti Komunis Filipina yang berpangkalan di selatan negara itu.

“Anda boleh membunuh pemberontak NPA bermula hari ini dan kamu akan dibayar 25,000 peso.

“Anda masuk ke hutan dan boleh menembak burung yang kecil, jadi tiada masalah untuk menembak anggota komunis ini kerana mereka mempunyai kepala yang besar.

“Dengan membayar 25,000 peso untuk satu nyawa, saya boleh menjimatkan kira-kira 47 peratus,” katanya dalam satu ucapan di pangkalan tentera udara di Cebu.

Duterte menghentikan rundingan damai dengan parti komunis berkenaan kerana berang selepas anggota pemberontak terus menyerang pasukan keselamatan walaupun kerajaan membebaskan beberapa pemimpin utama mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 5:24 AM