MIKE Pompeo tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Nom Bar di Hanoi pada 8 Julai 2018. FOTO AFP
MIKE Pompeo tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Nom Bar di Hanoi pada 8 Julai 2018. FOTO AFP
AFP

PROSES damai di antara Amerika Syarikat (AS) dan Korea Utara dilanda krisis semalam selepas Pyongyang menyuarakan kemarahan dengan lagak ‘gengster’ Washington yang menuntutnya segera melakukan pelucutan senjata nuklear selepas dua hari berunding.

Kementerian Luar Korea Utara membidas Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo kerana cuba mendapatkan komitmen Pyongyang susulan janji pemimpin negara itu, Kim Jong-Un dalam sidang kemuncak bulan lalu dengan Presiden Donald Trump untuk membebaskan senjata nuklear dari Semenanjung Korea.

Agensi berita KCNA menyiarkan kenyataan jurucakap kementerian yang berkata, Pompeo mengemukakan tuntutan seperti ‘gengster’ dalam isu itu tanpa menawarkan langkah sama dari AS.

“Nampaknya AS salah faham dengan sikap kami untuk bertolak ansur dan bersahabat,” katanya.

Pyongyang menekankan, ia sudah memusnahkan sebuah tapak ujian nuklear - dirujuk Trump sebagai ‘kemenangan untuk keamanan’ serta kesal kerana Pompeo tidak sedia beri jaminan bahawa AS juga akan turut ambil langkah sama.

Ia menyifatkan arahan Trump untuk menggantung latihan perang AS dan Korea Selatan sebagai langkah kosmetik dan boleh ditukar bila-bila masa selain mengkritik perunding AS yang tidak pernah menyebut soal menamatkan perang Korea 1953 dengan perjanjian damai rasmi.

Bercakap di Tokyo, Pompeo berkata, usahanya untuk mendesak Korea Utara melakukan pelucutan senjata mendapat sokongan masyarakat antarabangsa.

“Jika permintaan itu dibuat seolah-olah seperti ‘gengster’, dunia memang seperti itu kerana tidak ada keputusan sebulat suara Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagaimana ia boleh dicapai,” katanya.

Ketika menekankan sekali lagi bahawa rundingan mencapai kemajuan, beliau juga menegaskan bahawa belum ada sesuatu yang membolehkan sekatan ke atas Korea Utara dilonggarkan berhubung program senjata nuklearnya.

“Sekatan akan dikekalkan sehingga pelucutan senjata nuklear muktamad seperti dipersetujui Kim berlaku,” kata Pompeo.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Julai 2018 @ 6:23 PM