GAMBAR satelit menunjukkan kerja meroboh kemudahan pelancaran satelit di Sohae, Korea Utara. - AFP
GAMBAR satelit menunjukkan kerja meroboh kemudahan pelancaran satelit di Sohae, Korea Utara. - AFP
AFP

Seoul: Korea Utara mula merobohkan beberapa kemudahan di stesen pelancaran satelit utamanya yang juga tapak ujian peluru berpandu antara benua berdasarkan analisis gambar satelit terbaru.

Jika disahkan, analisis laman web 38 North berpangkalan di Amerika Syarikat itu menunjukkan kesungguhan Korea Utara menghapuskan senjatanya selepas pertemuan antara pemimpinnya, Kim Jong-un dengan Presiden Donald Trump, di Singapura, bulan lalu.

Menurut laman web itu, imej menunjukkan Pyongyang mula merobohkan dinding pemprosesan dan penyangga enjin roket yang digunakan untuk menguji enjin bahan api cecair di Stesen Pelancaran Satelit Sohae.

Sohae, terletak di pantai barat laut Korea Utara ialah kemudahan untuk melancarkan satelit ke orbit.

Enjin roket boleh diguna semula dengan mudah bagi kegunaan peluru berpandu dan masyarakat antarabangsa melabel program angkasa lepas Pyongyang adalah ujian senjata.

Penganalisis 38 North, Joseph Bermudez menyifatkan tindakan itu sebagai ‘langkah penting’ Jong-un memenuhi janji yang dikatakan Trump dibuat ketika pertemuan di Singapura.

“Sohae memainkan peranan penting dalam pembangunan teknologi program peluru berpandu antara benua Korea Utara dan kemajuan ini langkah ketara membina keyakinan bagi pihak Pyongyang,” kata Bermudez.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 1:00 PM