Anggota polis yang menyamar sebagai penduduk Palestin menahan perusuh di Ramallah. - Foto AFP/EPA/REUTERS
Anggota polis yang menyamar sebagai penduduk Palestin menahan perusuh di Ramallah. - Foto AFP/EPA/REUTERS
AFP

KEBIASAAN penduduk Palestin yang menyertai bantahan dan rusuhan menutup muka dengan ‘keffiyeh’ dipergunakan oleh polis Israel melaksanakan taktik anggotanya menyamar dan menyusup ke dalam kumpulan penduduk Palestin di Ramallah, Tebing Barat, hari ini

Wartawan menyaksikan anggota unit itu tiba-tiba mencekup penduduk Palestin dan mengeluarkan pistol melepaskan tembakan ke udara sambil tentera Israel menghampiri.

Kira-kira 150 penduduk Palestin melakukan bantahan dekat pos tentera di Ramallah, dengan sesetengahnya melempar batu ke arah pasukan keselamatan Israel.

Ketika tentera lengkap bersenjata menghampiri kumpulan itu, tiba-tiba beberapa lelaki yang berpakaian seperti penduduk Palestin, menutup muka dengan kain ‘keffiyeh’, malah membalut kepala dengan bendera Palestin mengeluarkan pistol.

Seorang mencampakkan bom asap manakala yang lain melepaskan tembakan ke udara sambil mencekup beberapa penduduk Palestin.

Pasukan perubatan Palestin menyatakan tiga penduduk Palestin cedera dalam kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 11:43 PM