Polis membuat siasatan di rumah seorang dukun yang dibunuh jirannya di Pekalongan, hari ini.
Polis membuat siasatan di rumah seorang dukun yang dibunuh jirannya di Pekalongan, hari ini.
Agensi

BAPA yang tidak sembuh selepas dirawat seorang dukun dipercayai punca lelaki menikam dukun berkenaan hingga mati di Kabupaten, Pekalongan, Jawa Tengah hari ini.

Lelaki berkenaan dikenali sebagai Eko, pergi ke rumah dukun berkenaan, Sugeng, 55, tinggal di kampung yang sama, Desa Tembelangunung, dan menyerang mangsa sebelum melarikan diri. Polis masih memburu lelaki berkenaan.

Menurut laporan Detik News, isteri dukun berkenaan, Kalipah, 45, berkata Eko datang ke rumah mereka kira-kira 8.30 pagi dengan membawa golok lalu terus masuk ke dalam bilik Sugeng berada, menetak dan menikamnya bertubi-tubi.

Menurut Kalipah dia tidak dapat berbuat apa-apa hanya mampu menjerit meminta tolong kepada jiran.

“Apabila saya kembali ke rumah bersama jiran, saya lihat suami berlumuran darah dalam bilik dan sudah meninggal dunia,” katanya

“Saya sedang duduk apabila dia datang dengan membawa golok. Sebelum ini antara kami tiada masalah,” katanya.

Selepas meninggalkan rumah mangsa, Eko membawa ibu bapanya masuk ke dalam hutan dan polis sudah menemui bapanya di dalam hutan manakala ibunya di rumah seorang saudara mara, namun Eko masih gagal dikesan.

Ketua Polis Lebakbarang, Slamet Mardiyanto, berkata pihaknya difahamkan bapa lelaki itu sakit berpanjangan dan Eko mendakwa bapanya sakit akibat terkena guna-guna berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 10:42 PM