DUTERTE
DUTERTE
Reuters

Manila: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte semalam berkata, dia akan berbincang dengan Malaysia dan Indonesia mengenai kemungkinan menubuhkan satu pasukan petugas bagi memerangi aktiviti militan seperti Daish.

Duterte juga menyatakan kesediaan membuka sempadan kepada pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia yang memburu anggota militan.

Katanya, dia merancang mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak mengenai perkara itu.

“Kami bersetuju untuk mengadakan perbincangan. Kami kini menunggu masa yang sesuai,” katanya.

Ketika ditanya apa yang bakal dibincangkan, Duterte berkata, “Secara keseluruhan kemungkinan satu pasukan petugas bersama.

“Saya juga akan membuka sempadan kepada pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia. Mereka diberi kebenaran masuk.”

Bimbang dengan pengaruh kumpulan pengganas termasuk Daish di Asia Tenggara ketiga-tiga negara itu sebelum ini bersetuju menggunakan pesawat pengintip dan dron untuk memantau pergerakan militan di kawasan sempadan.

Pada Jun lalu, ketiga-tiga negara juga bersetuju berkongsi risikan dan menangani dana yang disalurkan ke militan.

Filipina juga membenarkan pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia masuk ke perairan negara itu bagi memburu militan Abu Sayyaf yang aktif dengan aktiviti menculik kru kapal dagang.

Duterte membayangkan pertemuan dengan Jokowi dan Najib itu diadakan selepas bandar Marawi dibebaskan dari penguasaan militan Daish.

Selepas lebih 100 hari, tentera Filipina masih bergelut menumpaskan kumpulan kecil militan yang masih menguasai beberapa lokasi di Marawi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 10:03 AM