ORANG ramai di Brasilia meraikan keputusan mahkamah  memenjarakan bekas Presiden Lula selepas dia didapati bersalah atas tuduhan rasuah, semalam.  - AFP
ORANG ramai di Brasilia meraikan keputusan mahkamah memenjarakan bekas Presiden Lula selepas dia didapati bersalah atas tuduhan rasuah, semalam. - AFP

Brasilia: Bekas pemimpin Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, calon utama untuk memenangi pilihan raya presiden tahun depan, didapati bersalah atas tuduhan rasuah semalam dan dihukum penjara hampir 10 tahun.

Keputusan itu menandakan kejatuhan Lula, antara tokoh politik paling popular negara itu selain memberi tamparan paling hebat terhadap peluangnya untuk kembali berpolitik.

Lula yang juga bekas ketua kesatuan sekerja berdepan empat lagi tuduhan rasuah.

Dia bagaimanapun akan kekal bebas sementara menanti rayuan terhadap keputusan semalam.

Hakim Sergio Moro mendapati Lula, 71, bersalah menerima rasuah daripada sebuah syarikat kejuruteraan sebagai balasan mendapatkan kontrak dengan syarikat minyak negara itu, Petroleo Brasileiro atau Petrobras.

Pendakwa raya menuduh Lula yang menjadi presiden Brazil dari 2003 hingga 2011 merancang skim rasuah yang terbongkar selepas siasatan dilakukan terhadap Petrobras.

Dalam kenyataan menerusi e-mel, pasukan peguamnya menegaskan, Lula tidak bersalah dan mereka akan merayu.

“Selama tiga tahun Lula menjadi sasaran siasatan yang bermotifkan politik. Tidak ada bukti kukuh dikemukakan sementara bukti dia tidak bersalah tidak diendahkan,” menurut kenyataan itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2017 @ 10:26 AM