WALLACE (kiri) selepas itu membuat permohonan maaf. FOTO AFP
WALLACE (kiri) selepas itu membuat permohonan maaf. FOTO AFP
Reuters

Sao Paulo: Jawatankuasa Olimpik Brazil berkata mereka memfailkan aduan terhadap pemain bola tampar, Wallace de Souza selepas bekas juara Olimpik itu menulis catatan di media sosial yang kelihatan menyokong keganasan terhadap Presiden Luiz Inacio Lula da Silva.

Atlet itu bertanya kepada pengikutnya melalui satu undian di platform media sosial sama ada mereka akan 'menembak muka Lula dengan senapang 12 (kaliber).'

Pemain yang dikenali sebagai Wallace, yang juga penyokong bekas Presiden sayap kanan, Jair Bolsonaro, membuat tinjauan pendapat dengan bertanya kepada pengikutnya sama ada mereka akan meneruskan (tindakan ganas itu).

Dia kemudiannya memadamkan siaran itu dan memuat naik video memohon maaf, mengatakan dia tidak akan sekali-kali mencadangkan keganasan atau kebencian terhadap sesiapa dan menganggap siaran itu sebagai satu kesilapan.

Pegawai kerajaan menyeru peguam negara Brazil untuk mengambil tindakan undang-undang.

Paulo Pimenta, ketua jabatan komunikasi Lula, berkata mereka akan mengambil 'semua langkah yang perlu.'

Wallace adalah sebahagian daripada pasukan bola tampar Brazil yang memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik 2016, dan pemenang pingat perak pada 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 12:39 PM