LULA
LULA
Reuters

Sao Paulo: Polis menahan bekas Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva untuk soal siasat semalam kerana disyaki menerima rasuah bagi membiayai kempen pilihan raya dan Parti Pekerja yang diwakilinya.

Polis berkata, terdapat bukti Lula menerima habuan secara haram daripada syarikat petroleum milik kerajaan, Petrobras, dalam bentuk bayaran dan hartanah mewah.

“Lula yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pelantikan pengarah di Petrobras dan dia antara penerima habuan utama menerusi jenayah itu.

“Bukti menunjukkan jenayah ini menjadikan dia kaya raya dan membiayai kempen pilihan raya serta dana partinya,” kata polis dalam satu kenyataan.

Dalam operasi yang dikenali sebagai Carwash itu, polis membawa 33 waran geledah dan waran tangkap termasuk dua waran geledah di Sao Bernardo do Campo, tempat Lula tinggal.

Seramai 200 anggota polis dan 30 pegawai audit dari pejabat percukaian persekutuan menyertai operasi itu.

Yayasan milik Lula dalam satu kenyataan kelmarin menyatakan, pemimpin itu tidak pernah melakukan sebarang kesalahan ketika atau selepas tempoh pemerintahannya.

Penahanan Lula adalah kejutan terbesar setakat ini dalam skandal rasuah membabitkan Petrobras. Beberapa ahli politik dan eksekutif perniagaan berpengaruh Brazil dikatakan terlibat.

Lula menjadi Presiden Brazil dari 2003 hingga 2010 yang menurut pendakwa raya waktu kebanyakan salah guna kuasa itu berlaku.

Penahanan Lula mencemarkan reputasi pemimpin paling disayangi dalam sejarah moden Brazil dan mengancam kerajaan penggantinya, Dilma Rousseff.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2016 @ 5:11 AM