GAMBAR fail kebakaran Grenfeld. - Agensi
GAMBAR fail kebakaran Grenfeld. - Agensi
Agensi

London: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Westminster semalam atas lima tuduhan termasuk menipu bahawa isteri dan anaknya maut dalam tragedi kebakaran Grenfell Tower, baru-baru ini untuk mendapat pampasan wang serta perumahan.

Anh Nhu Nguyen, 52, yang tidak mempunyai alamat tetap membuat tuntutan sejurus kejadian pada 14 Jun lalu itu dan kesnya dikendalikan pegawai untuk membantunya mendapat pampasan kerana kononnya hilang semua harta benda dalam kebakaran berkenaan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa mula menyiasat selepas mendapati rentetan ceritanya menimbulkan pelbagai keraguan.

Malah penduduk Grenfell Tower yang turut disoal langsung tidak mengenalinya seterusnya mengesahkan dia tidak pernah tinggal di situ.

Susulan itu, pihak berkuasa berjaya menjejak tempat tinggalnya di Bromley - lokasinya ketika kebakaran berlaku - selain mendapati dia sebenarnya tidak mempunyai anak atau isteri.

Dia kemudian ditahan kerana menipu.

Penyiasat, Detektif Superintendan Fiona McCormack berkata: “Keperitan dan kesedihan dialami semua mangsa dan orang tersayang mereka malam itu tidak dapat dibayangkan.

“Sekelip mata, mereka kehilangan tempat tinggal, semua harta dan keluarga serta orang tersayang. Sepatutnya fokus kita semua adalah memberi sokongan sewajarnya kepada mangsa selain menyiasat kejadian sepenuhnya.

“Kami mahu memastikan tiada mangsa yang terlepas daripada mendapat bantuan. Dan pada masa sama, kami tidak akan membiarkan orang mengambil kesempatan daripada penderitaan orang lain.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2017 @ 5:21 AM