ANGGOTA bomba ketika memadam kebakaran. FOTO/AFP
ANGGOTA bomba ketika memadam kebakaran. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Polis Britain menahan lapan lelaki dan seorang wanita atas dakwaan membuat tuntutan palsu susulan tragedi kebakaran Grenfell Tower di London, tahun lalu yang meragut 71 korban.

“Semua kesalahan yang disiasat polis mempunyai kaitan dengan tuntutan palsu perumahan atau elaun. Mereka mendakwa menjadi mangsa kebakaran. Jumlah tuntutan terbabit antara 20,000 pound (RM106,679) hingga 100,000 pound (RM533,398).

“Golongan yang cuba meraih keuntungan daripada tragedi kemanusiaan langsung tidak boleh diterima. Mereka mengaitkan diri dengan bukan komuniti mereka,” kata Detektif Superintendan polis, Matt Bonner.

Setakat ini, lima orang sudah didapati bersalah membuat tuntutan palsu membabitkan kebakaran itu yang memusnahkan bangunan kediaman 24 tingkat di barat London pada awal pagi 14 Jun lalu.

Mohammad Gamoota, 31, minggu lalu dihukum penjara 18 bulan, sementara penipu bersiri Anh Nhu Nguyen, 53, dipenjara 21 bulan pada Februari lalu selepas didapati berpura-pura bahawa keluarga terbunuh dalam bangunan itu untuk menuntut dana bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 6:18 AM