Reuters

Marawi: Lima mayat orang awam ditemui dipenggal di kawasan yang dikuasai pemberontak Maute dan militan Daish di bandar ini, kata tentera semalam.

Tentera juga memberi amaran, jumlah orang awam yang terkorban dalam peperangan itu mungkin meningkat ketika askar menawan lebih banyak kawasan.

Penemuan lima daripada 17 mayat itu adalah bukti pertama orang awam yang terperangkap di bandar berkenaan dipenggal militan seperti yang dilaporkan penduduk yang berjaya menyelamatkan diri.

Jurucakap Pemerintah Mindanao Barat, Emmanuel Garcia dalam satu mesej kepada wartawan memberitahu, lima mayat yang dipenggal itu ditemui bersama 17 orang awam yang dibunuh militan.

Namun, Garcia tidak mendedahkan lebih lanjut mengenai penemuan itu.

Bila mayat orang awam berkenaan ditemui juga tidak jelas.

Seorang pekerja bantuan, Abdul Azis Lomondot memberitahu, beberapa anggota badan manusia ditemui semalam tetapi tiada bukti mangsa dipenggal.

Perang bagi merampas semula Marawi masuk hari ke-36 semalam dengan pertempuran sengit masih tercetus di pusat bandar.

Pemberontak Maute yang dibantu militan Daish masih menguasai sebahagian kecil bandar berkenaan.

Tentera memberitahu, seramai 71 anggota keselamatan, 44 orang awam dan 299 militan terbunuh dalam peperangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2017 @ 8:48 AM