PANGKALAN udara Shayrat di Homs, Syria seperti dirakam satelit DigitalGlobe pada 18 February 2017. FOTO Reuters/DigitalGlobe/Jabatan Pertahanan AS
PANGKALAN udara Shayrat di Homs, Syria seperti dirakam satelit DigitalGlobe pada 18 February 2017. FOTO Reuters/DigitalGlobe/Jabatan Pertahanan AS
Agensi

Washington: Amerika Syarikat memaklumkan kepada Russia sebelum ia melancarkan serangan tentera besar-besaran ke atas pangkalan udara Syria, kata Pentagon.

“Pasukan tentera Russia diberitahu sebelum serangan dilancarkan menggunakan talian khas tentera.

“Perancang tentera Amerika Syarikat mengambil langkah berjaga-jaga untuk meminimumkan ancaman terhadap pegawai Russia atau Syria di pangkalan udara yang menjadi sasaran pengeboman ,” kata Kapten Tentera Laut, Jeff Davis kepada wartawan di Pentagon.

Presiden Donald Trump mengarahkan serangan terhadap pangkalan udara Syria itu awal pagi tadi (waktu Malaysia) sebagai tindak balas terhadap serangan senjata kimia yang didkwa dilakukan Presiden Bashar al-Assad di wilayah Idlib.

Dalam taklimat ringkas yang disiarkan televisyen beberapa jam selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu gagal mencapai persetujuan untuk bersetuju terhadap bukti mengenai serangan kimia itu, Trump mengesahkan serangan udara ke atas Syria dan menggesa semua ‘negara bertamadun’ bersatu untuk menamatkan pertumpahan darah di negara berkenaan.

“Selasa lalu, diktator Bashar al-Assad melancarkan serangan senjata kimia terhadap pendudukyang tidak bersalah dengan menggunakan gas saraf. Malam ini (waktu Amerika Syarikat) saya mengarahkan serangan ke atas lapangan terbang di Syria, di tempat serangan kimia itu dilancarkan.

“Malam ini, saya menggesa semua negara bertamadun menyertai kami untuk menamatkan pembunuhan dan pertumpahan darai di Syria dan juga menamatkan semua bentuk keganasan,” kata Trump.

Seorang pegawai pertahanan Amerika Syarikat berkata, serangan itu membabitkan puluhan misil jenis Tomahawk yang dilepaskan dari kapal perang USS Porter dan USS Ross yang kini berada di timut Laut Mediterranean dan menyasarkan pesawat dan juga landasan di pangkalan berkenaan.

Setakat ini, belum ada berita mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan akibat serangan itu.

Serangan senjata kimia yang dilakukan tentera Syria Selasa lalu di wilayah Idlib menyebabkan 86 orang terbunuh, termasuk lebih 20 kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 11:58 AM