POLIS berkawal  berhampiran ambulans yang membawa keranda Aiptu, anggota polis yang terbunuh selepas ditikam dalam serangan di Medan kelmarin.  - EPA
POLIS berkawal berhampiran ambulans yang membawa keranda Aiptu, anggota polis yang terbunuh selepas ditikam dalam serangan di Medan kelmarin. - EPA
Agensi

Jakarta: Ketua Polis Indonesia, Jeneral Tito Karnavian semalam berkata, dua lelaki yang terbabit menyerang anggota polis di pos pemeriksaan di Medan, Sumatera Utara, ada hubungan dengan kumpulan Jemaah Ansharut Daulah (JAD), yang turut disyaki bertanggungjawab dalam serangan di terminal bas Kampung Melayu, Jakarta bulan lalu.

Dalam kejadian kelmarin, lelaki berkenaan yang dinamakan sebagai SP dan AR memasuki pos pemeriksaan berkenaan dan menikam anggota polis, Aiptu Martua dan seorang anggota lain yang berehat di dalam.

Jeritan mangsa menarik perhatian anggota polis lain yang mengejar penyerang sebelum menembak mati AR dan mencederakan SP.

Menurut Tito, polis meramalkan kemungkinan serangan seumpama itu di Sumatera Utara selepas menerima maklumat daripada tiga suspek yang disoal siasat sebelum ini.

“Kami sudah meramalkan anggota JAD merancang satu serangan hasil maklumat daripada rakan mereka yang ditahan sebelum ini,” katanya di Jakarta.

Polis merampas beberapa bahan bertulis, sepanduk, rakaman video dan bahan cetak dengan logo Daish selepas menyerbu kediaman penyerang berkenaan dan sebuah kedai cetak di Jalan Sisimangaraja di Medan.

Dalam pada itu, jurucakap polis di Sumatera Utara, Rina Sari Ginting berkata, penyerang berkenaan memanjat pos pemeriksaan berhampiran ibu pejabat polis Medan itu sambil melaungkan takbir sebelum menikam mangsa.

Serangan itu mengukuhkan kebimbangan mengenai peningkatan kegiatan militan di Indonesia.

Kumpulan yang bersimpati dan menyokong Daish melakukan beberapa siri serangan di Indonesia sejak beberapa tahun lalu.

Pihak berkuasa Indonesia meningkatkan kawalan keselamatan sepanjang cuti Aidilfitri ini.

Serangan bom di terminal bas di Kampung Melayu, Jakarta bulan lalu menyebabkan tiga anggota polis terbunuh.

Operasi yang dilancarkan polis selepas kejadian itu membolehkan 40 suspek militan ditahan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2017 @ 8:38 AM