ANGGOTA polis dari unit antipengganas melakukan serbuan di sebuah rumah di Surabaya kelmarin untuk menangkap suspek militan. - AFP
ANGGOTA polis dari unit antipengganas melakukan serbuan di sebuah rumah di Surabaya kelmarin untuk menangkap suspek militan. - AFP

Jakarta: Polis Indonesia menahan 18 suspek militan dalam usaha mengurangkan risiko serangan menjelang perayaan Krismas dan Tahun Baru tidak lama lagi, kata polis semalam.

Serangan hampir serentak di beberapa gereja di Jakarta dan lokasi lain ketika sambutan Krismas pada 2000, membunuh hampir 20 orang.

Sejak itu, pihak berkuasa meningkatkan keselamatan di setiap gereja dan kawasan tumpuan pelancong pada setiap musim perayaan.

Ketua polis Indonesia, Tito Karnavian berkata, walaupun tiada bukti menunjukkan suspek merancang sesuatu, penahanan itu dibuat untuk mengelak kejadian seumpamanya berlaku.

“Kami melancarkan serangan terlebih dulu. Kebanyakan yang ditahan mempunyai kaitan dengan kejadian sebelum ini,” katanya.

Menurut polis, 12 daripadanya ditahan di Sumatera Selatan, empat di Kalimantan Barat, sementara dua orang lagi masing-masing di Malang dan Surabaya di Jawa Timur.

Mengikut undang-undang antipengganas, polis boleh menahan seseorang sehingga tujuh hari sebelum menentukan sama ada mereka akan ditetapkan sebagai suspek atau dibebaskan.

Beberapa siri serangan berskala kecil sejak awal 2016 dikaitkan dengan Daish, dipercayai mempunyai ribuan penyokong di Indonesia. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 6:43 AM