POLIS menunjukkan kesan peluru pada kenderaan dinaiki dua suspek militan yang ditembak polis di Cilagon dekat Jakarta, semalam. - Detik.com
POLIS menunjukkan kesan peluru pada kenderaan dinaiki dua suspek militan yang ditembak polis di Cilagon dekat Jakarta, semalam. - Detik.com
AP

Jakarta: Polis Indonesia menembak mati seorang suspek pengganas dan menahan tiga lagi lelaki semalam dalam satu serbuan oleh skuad antipengganas di Cilagon dekat sini.

Polis percaya semua suspek adalah sebahagian kumpulan Jemaah Anshorut Daulah, yang memiliki lebih 20 anggota dan menyatakan kesetiaan kepada Daish.

Jurucakap polis Indonesia, Rikwanto berkata, kejadian berlaku apabila skuad antipengganas, Densus 88 memintas empat suspek yang menaiki dua kenderaan di sebuah kawasan kejiranan di Cilagon.

“Dua suspek menyerah diri tetapi dua lagi lelaki memandu kereta mereka ke arah kenderaan polis sambil seorang daripada mereka mengacukan pistol.

“Polis terpaksa melepaskan tembakan yang membunuh seorang suspek dikenali sebagai Nanang Kosim manakala seorang lagi cedera di tangan,” katanya.

Tiga lagi suspek yang ditangkap dikenali sebagai Achmad Supriyanto, Icuk Pamulang dan Ojid Abdul Majid.

Menurutnya, semua suspek adalah anggota kumpulan Jemaah Anshorut Daulah dan disyaki terbabit dalam beberapa serangan pengganas di Indonesia termasuk di Jalan Thamrin, Jakarta pada Januari tahun lalu.

Serangan di Jakarta itu yang pertama didalangi Daish di Indonesia menyebabkan lapan orang maut termasuk empat penyerang.

Kumpulan itu juga dikaitkan dengan beberapa aktiviti militan dan serangan yang dikaitkan dengan Daish di Indonesia.

Menurut Rikwanto, Nanang disyaki memberi latihan menggunakan senjata api dan membantu melindungi militan yang terbabit dalam beberapa serangan termasuk di Jakarta.

Seorang lagi jurucakap polis Indonesia, Boy Rafli Amar memberitahu, semua suspek dipantau rapi polis sejak dua bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 7:36 AM