AFP

Marawi: Berpuluh-puluh penduduk berjaya menyelamatkan diri dari Marawi yang dikuasai pemberontak Maute semalam selepas hampir dua minggu terperangkap dalam pertempuran di bandar itu.

Kumpulan itu keluar dari tempat persembunyian mereka di satu bahagian di Marawi yang dikuasai militan ketika tentera menawan jambatan penting untuk membawa keluar orang awam.

“Kami berbaring di lantai yang gelap setiap malam apabila terdengar bunyi tembakan atau letupan.

“Kami menutup pintu dengan perabot dan peti ais bagi menghalang kemasukan militan,” kata seorang guru sekolah, Jerona Sedrome.

Menurutnya, militan cuba memecah masuk dan berjaya pada cubaan kedua menyebabkan mereka terpaksa bersembunyi di dalam terowong di bawah rumah.

Tentera memberitahu, kira-kira 50 militan masih menguasai pinggir Marawi dan menawan sekurang-kurangnya 15 orang awam termasuk seorang paderi, dengan sebahagian dijadikan perisai manusia.

Seramai 200 penduduk lagi masih terperangkap di kawasan berkenaan dipercayai tanpa makanan dan minuman.

Tentera masih melancarkan serangan udara terhadap kedudukan militan manakala askar yang disokong kenderaan perisai mara ke kubu kuat pemberontak.

Menurut tentera, seramai 70 orang awam diselamatkan semalam termasuk 23 guru di sebuah kolej, seorang bayi dan tujuh kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2017 @ 12:03 AM